AirAsia kekal juara dunia buat kali ke-9 di Skytrax

210617 - 2.jpg

PARIS, 21 Jun 2017 - AirAsia kekal menjadi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali kesembilan berturut-turut.

Syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia itu telah merangkul anugerah tersebut di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2017 bertempat di Musée de l’Air et de l’Espace di Lapangan Terbang Le Bourget di sini semalam.

Anugerah tersebut diterima oleh Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan yang telah berkhidmat selama 20 tahun dalam syarikat tersebut, diiringi oleh duta AirAsia, David Foster serta pemain bola sepak Brazil Roberto Carlos.

Foster merupakan produser, pemuzik, penulis lagu dan komposer antarabangsa yang terkenal dan beliau telah memenangi 16 Anugerah Grammy daripada 47 pencalonan dalam tempoh empat dekad, manakala Carlos adalah pemain bek kiri yang membantu Real Madrid menjuarai empat gelaran La Liga Sepanyol dan menjadi sebahagian daripada pasukan pemenang Piala Dunia Brazil 2002.

Digelar sebagai “Anugerah Oscar bagi Industri Penerbangan”, Anugerah Skytrax merupakan penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan dengan lebih 19.9 juta kaji selidik pelanggan yang diterima daripada lebih 105 warganegara, mengukur piawaian di seluruh 49 prestasi utama barisan produk dan perkhidmatan syarikat penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Hari ini, Asean telah mencipta rekod dunia, di mana kami kini telah meraih gelaran juara dunia sebanyak sembilan kali. Sebagai perspektif, Brazil telah memenangi Piala Dunia FIFA sebanyak lima kali, Michael Jordan menjuarai NBA sebanyak enam kali dan Michael Phelps memegang rekod tempat pertama paling banyak dalam satu acara Olimpik dengan lapan pingat emas.”

"Kami mengambil gelaran juara dunia ini dengan serius dan akan berusaha untuk terus memberikan yang terbaik kepada para tetamu dan pemegang saham kami. Sepanjang 15 tahun lalu, kami telah mencipta sebuah jenama yang hebat dan untuk 15 tahun akan datang, kami ingin memacu ke arah One AirAsia, sebuah syarikat penerbangan beridentitikan Asean. Kami juga ingin menjadi sebuah syarikat penerbangan digital yang menggunakan teknologi untuk meningkatkan lebih nilai.

"Kami berasa rendah hati dengan sokongan yang ditunjukkan oleh tetamu kami yang dihargai dan kami berterima kasih kepada mereka kerana telah mengundi kami buat kali kesembilan berturut-turut. Kami meminta jasa baik David dan Roberto untuk mengiringi Suhaila ketika menerima anugerah ini bagi memberi inspirasi kepada kakitangan kami supaya mencontohi kedua-dua juara dunia di dalam industri muzik dan sukan ini, serta terus memberikan yang terbaik dalam apa jua yang mereka lakukan.”

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan pula berkata, “Diberi peluang untuk menerima anugerah ini bagi pihak AirAsia dan rakan-rakan Allstars merupakan satu penghormatan yang cukup besar. Merekalah juara sebenar. Selama 20 tahun, saya gembira menjadi sebahagian daripada kejayaan AirAsia yang bermula daripada syarikat penerbangan domestik sehingga ke syarikat penerbangan terbaik dunia. Kami mempunyai pasukan yang hebat, bersemangat tinggi dan berdedikasi, dan saya yakin kami akan terus mengekalkan reputasi sebagai syarikat penerbangan tambang rendah nombor satu dunia melalui perkembangan laluan ke China, Vietnam dan lain-lain."