AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia rai dua penerbangan sulung laluan antarabangsa ke Johor Bahru

SENAI, 28 November 2017 - AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia buat kali kesembilan berturut-turut hari ini meraikan dua penerbangan sulung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru dari Macao dan Kolkata, India.

Dua penerbangan laluan antarabangsa itu dijadualkan berlepas pada hari ini dari negara masing-masing, dan penerbangan sulung dari Macao akan disambut oleh YB Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dan Kepenggunaan Negeri Johor; Abdul Malik bin Hj Ismail, Pengarah Tourism Johor; Md Derick Basir, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd; Zamani Bin Mohd Rafique, Pengarah Perhubungan Kerajaan AirAsia Berhad; dan Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad.

Penerbangan terus dengan kekerapan tujuh kali seminggu dari Macao dan lima kali seminggu dari Kolkata adalah laluan keempat dan kelima yang dilancarkan oleh syarikat penerbangan itu ke hab selatannya pada tahun ini, selepas Johor Bahru-Jakarta, Johor Bahru-Kuala Terengganu dan Johor Bahru-Langkawi pada awal tahun ini. Pelancaran ini sekaligus terus mengukuhkan komitmennya untuk mengembangkan hab tersebut, di samping menambah dua pesawat A320 di Lapangan Terbang.

Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad berkata, “AirAsia berbesar hati untuk menghubungkan lebih banyak laluan antarabangsa ke Johor Bahru dan menambah jumlah penerbangan terus untuk meningkatkan lagi kedatangan pelancong asing ke negeri ini - selari dengan rancangan jangka panjang kami untuk mengembangkan hab ini, dan pelan kerajaan negeri untuk menambah baik sambungan terus ke negeri ini.

“Selain itu, dengan menambah hubungan antarabangsa baharu ke negeri ini, kami berharap ia akan menarik lebih banyak pelaburan asing ke Johor Bahru, seterusnya menjadikan negeri itu tarikan pelancongan yang bernilai tinggi. Sejak 2010, AirAsia telah menerbangkan kira-kira 12 juta tetamu ke dan dari Johor Bahru dan kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan berterusan daripada kerajaan negeri Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Justeru, kami amat berterima kasih kepada mereka dan berharap untuk terus bekerjasama dengan mereka bagi mengukuhkan hab ini dan menambah laluan ke Johor Bahru dengan sokongan mereka.”

Md Derick Basir, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd berkata, “Kami telah bekerjasama rapat dengan AirAsia untuk melancarkan dua laluan baharu ini bagi Lapangan Terbang Senai. Kami amat berbesar hati dan teruja bahawa ia telah menjadi kenyataan kerana hubungan terus antara kedua-dua bandar ini dan Johor Bahru akan memberi manfaat kepada Johor dan Iskandar Malaysia melalui aktiviti ekonomi dan pelancongan di negeri ini. Malah, kami juga menjangkakan untuk menerima lebih ramai pelancong dari China dan Hong Kong melalui Macao, dan juga pelancong dari bandar-bandar metropolitan lain di India, Bangladesh dan Nepal melalui Kolkata.”

AirAsia kini beroperasi dengan 161 penerbangan sehala seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Selain Macau dan Kolkata, AirAsia juga terbang dari Johor Bahru ke Bangkok, Guangzhou, Bandar Ho Chi Minh, Jakarta, Surabaya, dan ke sembilan laluan domestik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Miri, Tawau, Sibu, dan Kota Kinabalu.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).