AirAsia Newsroom

View Original

Ikuti Nasihat Perjalanan AirAsia untuk pengalaman percutian yang lebih lancar

Para tetamu disarankan untuk tiba di lapangan terbang lebih awal berikutan kerja-kerja menaik taraf kaunter sedia ada di klia2 bermula 20 November 2017

SINGAPORE, 16 November 2017 - AirAsia dan AirAsia X ingin menggalakkan para tetamu yang akan terbang semasa musim cuti sekolah kini untuk mengikuti nasihat perjalanan ini untuk pengalaman percutian yang lebih lancar. Tetamu disarankan untuk tiba di lapangan terbang sekurangkurangnya 3 jam sebelum waktu perlepasan bagi penerbangan AirAsia dan 4 jam sebelum bagi penerbangan AirAsia X bagi melepasi kesemua formaliti penerbangan dan mengelakkan kesesakan yang dijangka akan berlaku semasa musim percutian ini.

AirAsia juga ingin mengingatkan para tetamu supaya daftar masuk sendiri sama ada melalui laman web, aplikasi mudah alih atau kiosk daftar masuk bagi memudahkan perjalanan mereka berikutan kerja-kerja menaik taraf kaunter sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bermula 20 November 2017. Daftar masuk sendiri boleh dilakukan 14 hari sebelum tarikh penerbangan dan 1 jam sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia, dan sehingga 4 jam sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia XKiosk daftar masuk sendiri dan tag bagasi sendiri tersedia di klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim, Lapangan Terbang Bintulu, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Lapangan Terbang Labuan, Lapangan Terbang Miri, Lapangan Terbang Sandakan, Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Tawau.

Bagi tetamu yang mempunyai bagasi untuk didaftar masuk, kaunter bagasi ditutup 60 minit sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia dan AirAsia X. Oleh kerana kesesakan dijangka akan berlaku di kaunter mengimbas bagasi dan di kaunter imigresen, anda dinasihatkan untuk melengkapkan proses daftar masuk bagasi dan terus ke pintu perlepasan seawal yang mungkin.

Kepada para tetamu yang terbang ke atau dari Singapura pula, AirAsia kini beroperasi di Terminal 4 yang baharu serta lebih canggih dan automatik di Lapangan Terbang Changi Singapura, yang boleh diakses dengan teksi, kereta sewa, bas atau pengangkutan peribadi. Para tetamu yang berlepas dari Terminal 4 dinasihatkan untuk tiba 3 jam sebelum waktu berlepas untuk memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk ke terminal baharu itu.

Tetamu yang membuat tempahan secara berkumpulan, kekurangan kebolehan bergerak atau memerlukan bantuan istimewa hanya boleh mendaftar masuk menerusi kaunter sahaja dan perlu tiba lebih awal bagi menyelesaikan kesemua formaliti perjalanan. Kakitangan AirAsia yang berada di lapangan terbang bersedia untuk membantu dan memastikan perjalanan yang lancar untuk semua disepanjang musim percutian ini.

Setiap seorang tetamu (kecuali bayi) hanya dibenarkan membawa SATU beg cabin (tidak melebihi dimensi 56 x 36 x 23cm) DAN satu beg komputer riba atau beg tangan ke atas pesawat. Jumlah berat kedua-dua beg yang dibenarkan tidak harus melebihi 7kg. Para tetamu juga disarankan untuk pra-tempah peruntukan berat bagasi untuk lebih penjimatan. Pilih ‘Urus Tempahan Saya’ untuk menambah berat bagasi di laman airasia.com sehingga empat jam sebelum waktu berlepas, atau menerusi aplikasi mudah alih untuk peranti iPhone dan Android.

Para tetamu juga dinasihatkan untuk membuat pra-tempahan dalam talian bagi hidangan kombo Santan yang hanya RM10 dalam penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK) dan RM15 dalam penerbangan AirAsia X (kod penerbangan D7), untuk memastikan hidangan pilihan akan disediakan kepada mereka. Para tetamu yang terbang bersama anak-anak mereka juga boleh membuat pra-tempahan bagi hidangan kanak-kanak istimewa, Lil’ Star Combo yang menyajikan piza mini, minuman dan snek istimewa. Pra-tempahan boleh dibuat hingga 24 jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan menerusi pautan ‘Urus Tempahan Saya’.

Selain itu, ceriakan pengalaman perjalanan anda dengan hiburan dalam penerbangan PERCUMA termasuklah filem, muzik dan panduan perjalanan yang popular apabila anda menyambung ke ROKKI Wi-Fi pada peranti mudah alih anda. Bagi mereka yang ingin melayari Internet, mereka boleh mendapatkan pelan ROKKI dari serendah RM9. Bukan itu sahaja, AirAsia juga menyediakan pengalaman membeli-belah dalam talian dengan tawaran eksklusif daripada ROKKI Shop.

Tambahan pula, membeli-belah dalam talian juga kini menjadi lebih mudah dengan perkhidmatan Pre-book + Collect by Big Duty Free. Para tetamu boleh menikmati penjimatan dan lebih kemudahan apabila mereka membeli-belah di bigdutyfree.com sehingga 48 jam untuk penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK) dan 72 jam untuk penerbangan AirAsia X (kod penerbangan D7), dan pesanan tersebut akan terus dihantar ke tempat duduk anda, sama ada dalam penerbangan yang akan berlepas atau yang akan tiba.

AirAsia mengucapkan selamat bercuti kepada semua tetamu kami. Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter(twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).