AirAsia anjur temu duga terbuka kru kabin di Johor Bahru

271017.png

Temu duga terbuka ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat penerbangan itu untuk mencari kakitangan berbakat di negeri tersebut

SEPANG, 27 Oktober 2017 - AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia bakal menganjurkan temu duga terbuka kru kabin pada 4 November 2017 di Hotel Puteri Pacific, Johor Bahru.

Temu duga ini juga adalah sebahagian daripada usaha syarikat penerbangan tersebut untuk mencari kakitangan berbakat di negeri tersebut, seterusnya membantu mengembangkan lagi hab Johor Bahru.

Suhaila Hassan, Ketua Kumpulan Kru Kabin, AirAsia Berhad berkata, “Kami amat berbesar hati untuk menganjurkan temu duga terbuka kru kabin di Johor Bahru kerana kami percaya terdapat ramai bakat-bakat baharu yang boleh dikembangkan di sini.

“Selain menjadi duta kepada syarikat penerbangan, tugas kru kabin juga merangkumi pelbagai aspek penting; menjadikan ia kerjaya dan gaya hidup yang mengujakan, selain terjamin. Kami mencari mereka yang berminat untuk menerokai bidang penerbangan dan sedia untuk menjadi sebahagian daripada kru kabin terbaik di dunia. AirAsia meraikan kepelbagaian dan percaya bahawa semua orang kelebihan tersendiri. Justeru, kami menawarkan peluang untuk para Allstars berkembang dan maju ke hadapan - semuanya dengan pakej imbuhan, ganjaran dan pelbagai manfaat yang menarik.”

Graduan daripada mana-mana bidang dan kru yang berpengalaman juga digalakkan untuk memohon. Temu duga ini terbuka kepada semua dan calon yang berminat harus datang berserta borang permohonan yang lengkap; yang boleh dimuat turun di www.airasia.com/cabincrewmalaysia-application, sijil asal dan salinan SPM dengan kredit dalam Bahasa Inggeris atau setaraf, sijil asal dan salinan daripada Institusi Pengajian Tinggi atau setaraf, resume baharu, Kad Pengenalan asal dan salinan, salinan gambar saiz pasport terkini dan salinan gambar badan penuh terkini.

Selepas Johor Bahru, temu duga terbuka tersebut bakal dianjurkan di Lapangan terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 11 November 2017, serta di Pusat Kecemerlangan Penerbangan Asian (AACE) di Sepang pada 25 November 2017.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).