AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Jepun kembali beroperasi, tawar penerbangan Nagoya-Sapporo

SEPANG, 16 Oktober 2017 - AirAsia Jepun, anak syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, kini kembali beroperasi dengan menawarkan penerbangan pertama dari Nagoya ke Sapporo.

Penerbangan dua kali sehari itu bakal bermula pada 29 Oktober 2017, menghubungkan Nagoya - hab utama AirAsia di Jepun - ke ibu kota wilayah utara Hokkaido.

Untuk meraikan pengumuman ini, AirAsia menawarkan promosi tambang istimewa, dari hanya JPY5* bermula 17 Oktober 2017 (0001h GMT +9) hingga 22 Oktober 2017 (2359h GMT +9) untuk tempoh penerbangan dari 29 Oktober 2017 hingga 24 Mac 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Saya amat berbesar hati untuk kembali memulakan operasi di Jepun. Ia bukan semudah yang disangka, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan seperti Rakuten, Octave, Noevir dan Alpen di atas sokongan dan kesabaran mereka. Ramai yang menyangka kami akan berputus asa, tetapi kami terhutang budi kepada rakyat Jepun dan kakitangan kami untuk terus mara ke hadapan. Walaupun ia mengambil sedikit masa, tetapi kami kini telah bersedia untuk berlepas.

“Jepun adalah pasaran yang hebat dengan rakyat yang peramah, serta budaya dan juadah yang mengagumkan, tetapi kurang mendapat perhatian dalam segi penerbangan tambang rendah. Saya percaya Jepun kini bersedia untuk menawarkan pengalaman penerbangan tambang rendah, dan AirAsia akan menjadi pencetus revolusi itu, bermula dengan pelancaran laluan ini. Bersama-sama rakan kongsi baharu yang mempunyai visi yang sama, saya yakin bahawa AirAsia akan menjadi pilihan penerbangan di Jepun.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Jepun, Osamu Hata berkata, “Kami teruja untuk mengumumkan laluan pertama AirAsia Jepun dari Nagoya ke Sapporo yang kini tersedia untuk ditempah. Kami berbangga menjadi syarikat penerbangan pertama yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di Nagoya dan kami komited untuk menghubungkan para tetamu ke rangkaian luas AirAsia dengan tambang rendah, serta mengeratkan komuniti dan budaya untuk memajukan ekonomi tempatan.”

AirAsia Jepun adalah usaha sama antara AirAsia Berhad, Rakuten Inc, Octave Japan Infrastructure Fund I GK, Noevir Holdings Co Ltd dan Alpen Co Ltd. Syarikat penerbangan itu mengendalikan dua pesawat A320-200 dari habnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di Nagoya.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

*Promosi tambang asas yang tercatat adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai jualan dan tidak termasuk cukai lapangan terbang dan fi. Tertakluk kepada terma dan syarat.